ASBABUN NUZUL
Malam kemuliaan yang dikenali sebagai malam Lailatul Qadr iaitu suatu malam yang penuh kemuliaan, kebesaran kerana pada malam itu permulaan turunnya Al-Quran.
Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Al-Hakim dan Ibnu Jarir, yang bersumber dari Al-Hasan bin 'Ali bahawa Nabi Muhammad SAW bermimpi melihat bani Umayyah menduduki dan menguasai mimbarnya setelah beliau wafat. Beliau merasa tidak senang kerananya. Maka turunlah surah al-Kautsar ayat 1 (Sesungguhnya kami telah memberi kepadamu nikmat yang banyak) dan surah al-Qadr ayat 1-5 untuk membesarkan hati beliau.
Al-Qasim al Hairani menyatakan bahawa kerajaan Bani Umayyah itu ternyata berlangsung selama tidak lebih dan tidak kurang dari seribu bulan. Menurut al-Tirmidzi, riwayat ini gharib, sedang al-Muzani dan ibnu Katsir menyebutnya sangat munkar.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan Al-Wahidi, yang bersumber dari Mujahid bahawa Rasulullah SAW pernah menyebut-nyebut bani Israel yang berjuang fisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. kaum mMuslimin mengagumi perjuangan orang tersebut. Maka Allah menurunkan surah Al-Qadr 1-3 yang menegaskan bahawa satu malam lailatul qadr lebih baik daripada perjuangan bani Israel selama seribu bulan itu.
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir yang bersumber dari Mujahid bahawa dikalangan bani Israel terdapat seorang lelaki yang suka beribadah pada malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukannya selama seribu bulan. Maka Allah menurunkan ayat ini (al-Qadr 1-3) yang menegaskan bahawa satu malam Lailatul Qadr adalah lebih baik amalnya daripada seribu bulan yang dilakukan oleh seorang lelaki dari Bani Israel tersebut.
